Tarikh : 03 April 2023 Masa : 9.30Am – 11.30Am Lokasi : SK Ranau Kota Marudu Peserta : Terbuka |
Tujuan
Jenayah siber merupakan jenayah komputer yang baharu pada abad ini. Jenayah siber ini terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat, penggodaman dan lain-lain. Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, dan propaganda disebarkan melalui Internet. Aktiviti ini bertujuan untuk memastikan para pelajar sentiasa berwaspada dan harus peka dengan kempen-kempen kesedaran dan juga kempen Klik Dengan Bijak yang bermatlamatkan keselamatan, waspada dan tanggungjawab. Taklimat ini dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pelajar terhadap penggunaan internet. Program seperti ini sangat penting untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar serta komuniti tentang kewujudan jenayah siber dan kesan buruk yang berlaku sekiranya menjadi mangsa jenayah siber ini. Program ini juga memberi kesedaran kepada pelajar agar tidak memberi sebarang maklumat diri dalam media sosial agar keselamatan sentiasa terjaga dari jenayah siber.
Aktiviti
Petugas memberikan taklimat tentang jenayah siber dan memberi kesan baik dan kesan buruk penggunaan internet dalam kalangan pelajar. Sesi tayangan Video tentang Jenayah siber juga diadakan untuk memastikan pelajar lebih memahami dan dapat meningkatkan kesedaran. Seterusnya, aktiviti kuiz KDB turut diadakan untuk mengetahui pemahaman pelajar tentang jenayah siber dan penggunaan internet. Secara keseluruhannya, program taklimat KDB ini mendapat sambutan yang baik daripada pelajar dan juga guru-guru Sk Ranau. Hal ini dapat memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar tentang penggunaan internet agar di masa akan mereka lebih berhati-hati dengan penggunaan internet.